Oct 03, 2024 - FASHari ini, Selangor FC akan meneruskan saingan AFC Champions League Two (ACL2) 2024/25 Kumpulan H bertemu Dynamic Herb Cebu F.C. di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, Malaysia pada jam 8 malam (waktu Malaysia).
Selangor FC telah diundi dalam Kumpulan H bersama tiga kelab daripada tiga negara yang berbeza, Muangthong United F.C. (Thailand), Jeonbuk Hyundai Motors (Republik Korea) dan Dynamic Herb Cebu FC (Filipina) bagi mengharungi Kumpulan H ACL2.
Setakat ini, Jeonbuk Hyundai Motors mendahului Kumpulan H dengan tiga mata penuh, diikuti Muangthong United F.C. dan Selangor FC terikat dengan satu mata dan Cebu F.C. di tempat keempat.
Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil, yakin pasukan akan berikan yang terbaik di hadapan penyokong Gergasi Merah.
“Sudah semestinya kami menantikan perlawanan petang ini menentang Dynamic Herb Cebu F.C., mereka memulakan dengan langkah kanan dalam Liga Bola Sepak Filipina. Dalam masa yang sama, kami sedia maklum akan jurang perbezaan tahap kejohanan ACL2 ini. Seperti sedia maklum, ini adalah tahun pertama kami bertanding dalam saingan ini, sudah pasti kami mahu meninggalkan impak yang baik dengan memberikan persembahan terbaik buat para peminat, terutama sekali perlawanan hari ini berlangsung di laman kita sendiri.”
“Bagi mengenai persiapan pasukan, kami telah mempersiapkan diri dengan latihan dan maklumat yang diperlukan, tambah lagi motivasi pemain kini berada di tahap yang baik. Saya percaya petang ini akan menjadi perlawanan yang menarik untuk ditonton kerana mereka pastinya akan menunjukkan kebolehan yang mereka miliki dan kita juga akan lalukan perkara yang sama.” Jelas beliau.
Bagi keberadaan pemain, Mukhairi Ajmal dan Alexander Agyarkwa masih menjalani sesi pemulihan daripada kecederaan mereka.
Pihak pengurusan Selangor FC percaya dengan kebolehan pasukan bagi menghadapi Dynamic Herb Cebu F.C. di laman sendiri. Terus cemerlang, Gergasi Merah!
Demi Kebanggaan!